Facebook
RSS

Cinta Tak Boleh Dipaksa

Jun - 18 - 2012
admin





Sering kali kita mendengar ayat “kalau aku tak dapat dia, orang lain pun tak akan dapat memiliki dia!” dalam drama atau filem kan? Sebenarnya, ayat sebegitu juga wujud dalam dunia nyata ni. Memang ada segelintir manusia yang suka memaksa dalam cinta. Mereka menggangap jika mereka mencintai seseorang, mereka harus memilikinya sedangkan lumrah alam, mencintai tak semestinya memiliki. Itu hakikat yang kita harus pegang.

Ada juga jenis manusia yang tidak kisah jika terpaksa menghancurkan hubungan orang lain asalkan cita cita mereka tercapai. Manusia sebegitu bersifat cukup licik dan pandai memutar belitkan fakta supaya orang lain terjerat dengan mereka. Cintailah orang yang mencintai kita. Itu lebih baik daripada bersikap terlalu memaksa orang lain mencintai kita. Selain memalukan diri sendiri, hati kita akan lebih terluka.

Paksaan dalam dunia cinta ada beberapa kategori. Mereka yang sedang bercinta juga termasuk dalam kategori ini. Sebagai contoh ringkas, si teman wanita memaksa pasangannya untuk membuat keputusan mengikut kemahuannya dalam hal tertentu. Ini juga boleh dianggap paksaan dalam cinta. Seperti yang kita maklum, cinta itu penuh dengan pengorbanan dan keilkhlasan. Di mana nilai cinta kalau wujudnya paksaan? Sudah tentulah hubungan akan jadi tegang dan hambar bukan? Paksaan juga akan menghilangkan rasa hormat pasangan terhadap diri kita. Ada yang kata sebagai penyelesaiannya, kita harus ikut flow. Jangan terlalu memaksa dan jangan terlalu mengikut.

Ada juga kes di paksa kahwin, terutama dalam hal kekeluargaan lah kan. Orang kata pilihan ibu bapa itu semestinya yang terbaik. Sebenarnya tidak semua begitu ya. Memanglah semua orang tua mahukan yang terbaik untuk anak mereka, itu sudah pasti tetapi ibu bapa juga manusia biasa. Mereka tak terlepas dari kesilapan. Ada sahaja kes pasangan yang dipaksa kahwin oleh keluarga dan akhirnya mereka bercerai kerana tidak bahagia. Jadi apa yang perlu kita ketahui di sini adalah dalam cinta, jauhi lah sebarang paksaan. Paksaan akan menyakitkan diri sendiri dan pasangan. Kesan jangka panjangnya amat teruk untuk dibaiki semula nanti.

Sama juga dengan kes mencintai dalam diam. Jika seseorang yang kita cinta itu tidak akan boleh menerima kita atas alasannya yang tertentu, jangan paksa. Belajar terima hakikat bahawa cinta tak boleh dipaksa. Tidak akan ada bahagianya hubungan yang berlandaskan paksaan atau tujuan tertentu. Jika boleh bertahan pun sekejap saja, bukan dalam jangka masa yang lama. Yelah, sampai bila kita mahu menipu perasaan sendiri bukan? Ada beberapa jenis paksaan dalam cinta yang perlu kita ketahui, semoga kita dapat belajar apa itu erti cinta yang sebenarnya supaya kita dapat mencapai bahagia bersama pasangan.

“Cinta yang sebenar datang dari hati, bukan paksaan yang memakan diri”

 

“Kalau aku tak dapat memiliki dia, orang lain juga tidak akan dapat memiliki dia!”
Ini seringkali terjadi pada jenis manusia yang sangat tekad dan degil tetapi perasaanya sangat negatif. Mereka adalah terdiri dari golongan perampas, tamak, dan sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan peribadi mereka tercapai. Orang jenis ni tidak kisah sama ada orang yang dia cintai itu sudah mempunyai pasangan atau tidak, apa statusnya atau siapa dia yang penting dia harus dimiliki. Tekad dan kekuatan cinta orang jenis ini bagus, tetapi ia sangat negatif kerana mereka berpontensi meruntuhkan mahligai bahagia orang lain.

Jika korang ada di dalam kategori ini, maka nasihat yang sesuai untuk korang adalah, berhenti melakukan sesuatu yang boleh memakan diri sendiri! Apa yang kita lakukan di atas dunia ini pasti ada ganjarannya tidak kira baik atau buruk. Dan cubalah pelajari apa makna cinta yang sebenarnya. Cinta itu bermaksud bahagia. Bukan kebahagiaan diri sendiri semata mata tetapi cinta adalah membahagiakan orang yang kita cintai. Cuba bayangkan jika korang meruntuhkan mahligai orang yang korang cinta, sebagai contoh korang rosakkkan rumah tangganya, pasti dia yang korang gila gila kan itu akan sangat kecewa. Korang patut sedar yang korang telah bertindak sebagai pengacau dan pemusnah rumah tangganya. Adakah itu yang korang mahu? Korang mahu orang yang korang cintai itu hidup bahagia atau derita sebenarnya?

Dan selepas rumah tangga atau hubungan dia hancur, korang akan ingat dia mahu menerima korang sebagai teman hidupnya yang baru? Tidak semestinya. Yang penting, apa yang korang hajati tidak akan tercapai dengan cara memusnahkan hidup orang lain. Sekarang nasi sudah menjadi bubur, rumah tangga dan hubungan orang yang korang cintai musnah tapi dalam masa yang sama korang masih tidak dapat memiliki cinta si dia. Adakah itu namanya cinta?

Jika pun dia menerima korang. Ingatlah yang bahagia yang korang rasai itu tidak akan berpanjangan. Korang akan dihantui rasa bersalah kerana telah menyakiti hati orang lain. Suatu masa nanti akan ada balasan yang setimpal untuk korang. Bukankah perbuatan jahat akan dibalas jahat? Memiliki suatu hubungan dengan cara yang salah telah membuatkan hubungan anda berdepan dengan masalah. Korang akan dihantui rasa tidak selamat kerana memikirkan sesuatu yang negatif saja nanti. Contohnya, dia si dia boleh curang dengan pasangannya sebelum ini, tidak mustahil dia boleh curang dengan korang pula kan? Dan jika si dia boleh mengkhianati cinta, tidak mustahil juga suatu hari nanti dia akan pergi meninggalkan korang.

 

Paksaan dalam hubungan sedia ada.
Situasi paksaan dalam hubungan cinta yang sedia ada. Ini bermaksud, korang dan si dia sama sama mencintai sejak awal dulu dan tidak memilikinya dengan cara salah. Korang berdua sedang berada di dalam alam percintaan dan merancang untuk berkahwin pada masa hadapan. Pendek kata, korang berada dalam suatu hubungan yang normal seperti orang lain.

Paksaan juga boleh berlaku pada hubungan korang walaupun korang berada di dalam satu percintaan yang normal seperti sekarang. Bagaimana? Ia adalah dengan adanya sikap terlalu mengongkong, terlalu meminta dan kerap memaksa pasangan melakukan sesuatu mengikut kehendak korang. Tidak mustahil dengan hadirnya sikap sikap negatif seperti itu, hubungan korang akan musnah di tangan sendiri. Paksaan tidak akan membuatkan hubungan korang bertahan. Percayalah.

Walau bagaimana pun korang membenci sikap atau perbuatan pasangan korang, korang tidak boleh memaksanya untuk segera berubah. Apa yang korang boleh lakukan adalah nasihat cara elok. Di dalam sesuatu hubungan pasti aka nada masalah dan dugaan yang timbul. Apabila sesuatu keputusan buat hati korang tak senang, janganlah memaksa pasangan buat sesuatu yang di luar kemahuannya.

Contoh contoh lain seperti memaksanya menukar pekerjaan, memaksanya melayan anda siang malam, memaksanya mengikut pendapat anda sahaja dan banyak lagi. Walaupun korang sedang bersama, tetapi si dia masih ada hidup dia sendiri. Dia berhak melakukan apa yang dia mahu selagi perkara itu tidak mengkhianati hubungan korang berdua. Macam mana tidak puas hati atau kecewa pun korang dengan perangainya, korang tidak boleh memaksa. Hak korang sebagai kekasih adalah, menasihati. Jika dia masih tidak mahu berubah, korang perlulah bersabar banyak banyak. Kan cinta memerlukan kesabaran yang tinggi?

Penyelesaian yang paling mujarab untuk mengelakkan kecewa dalam bercinta adalah dengan mengurangkan harapan terhadap orang yang korang cinta. Bukan mengurangkan cinta, tetapi mengurangkan harapan. Berbeza maksudnya di situ. Tanamkanlah dalam hati korang bahawa walau bagaimana pun keadaan hubungan korang dan walau bagaimana buruk pun si dia melayan korang, korang akan tetap mencintainya seumur hidup. Korang tetap tidak akan membalas perbuatan buruk si dia pada korang.

Yang penting janganlah memaksanya. Jika tidak mahu terlalu kecewa, belajar kurangkan harapan untuk si dia walaupun ianya payah. Cinta korang padanya masih kekal dan dalam, tetapi korang serahkanlah hubungan korang itu kepada Allah. Mencintai tak semestinya memiliki. Kekalkan dalam ingatan bahawa jika si dia bahagia, korang akan turut bahagia.

Tiada siapa kata mengurangkan harapan pada seseorang yang korang cintai itu mudah. Ia cuma boleh mengurangkan rasa kecewa, tetapi korang akan tetap rasa sedih. Itu lumrah, tapi sekurang kurangnya korang sudah buat yang terbaik untuk memahami pasangan korang kan? Jika si dia selalu sibuk, janganlah memaksanya meluangkan masa untuk korang. Beralahlah. Mengalah tidak semestinya kalah. Simpan rasa kecewa dan sedih korang tu dalam hati. Biarkan dia melakukan mengikut kehendaknya asalkan jangan sampai melampau. Beralah boleh, tapi korang juga harus tahu hak korang sebagai pasangannya.

Mengambil contoh yang lain, tentang rakan rakan berlainan jenisnya. Ya, kita sedang bercinta dengannya tetapi kita tetap tidak boleh menghalang dia dari berkawan dengan orang lain. Tanamkan rasa percaya kepada si dia. Biar dia banyak rakan wanita, asalkan hanya korang yang dia cinta. Biar dia banyak kawan lelaki, asalkan dia tahu batas batas antara rakan berlainan jantina.

Secara lumrah, pasti korang akan sedikit sebanyak dilanda perasaan cemburu bila si dia kelihatan mesra dengan rakan lain kan? Tapi ambillah perkara itu sebagai sesuatu yang positif. Nyatakan cemburu boleh tetapi janganlah sampai memaksanya tidak berkawan lagi dengan rakan itu. Senang cerita tengok pada keadaanlah. Kadang kadang kita ni yang terlebih cemburu. Selagi tidak melampau, biarkan dia berkawan dengan sesiapa sahaja yang dia mahu. Korang juga pastinya bebas berkawan dengan sesiapa sahaja yang korang mahu. Give and take serta kepercayaan yang tinggi sangat penting dalam hubungan.

Cuba bayangkan korang hidup dalam satu kotak yang luas tetapi terkurung? Tidak boleh lihat dunia luar. Itulah rasanya bila dipaksa melakukan sesuatu yang korang tidak mahu. Jadi jika kita tidak mahu dipaksa, jangan memaksa. Jagalah hubungan cinta yang kita miliki sekarang tanpa sebarang unsur paksaan yang melampau. Tetapkanlah hati dan kuatkan lah cinta korang dan si dia. Anasir anasir luar terlalu banyak yang iri hati pada sesuatu hubungan yang bahagia. Mungkin ada mata yang memerhatikan hubungan bahagia korang di saat ini. Orang busuk hati memang selalu ada di sekeliling kita. Kita takkan dapat menghalang dan mengawal mereka. Tetapi kita dapat mempertahan dan mengawal hubungan kita melalui sikap kita sendiri.

.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...



5 Tips Menjaga Hubun

Pasangan yang sudah berkahwin tetapi diuji dengan hubungan jarak jauh ...

5 Tips Menjadi Suami

Lelaki yang bergelar suami adalah merupakan ketua keluarga yang dipertanggungjawabkan ...

5 Tips Menjadi Ister

Wanita adalah golongan yang mudah masuk ke dalam neraka, dan ...

5 Tips Menghadapi Sa

Apabila seseorang itu mahu berkahwin, malam pertama sering menjadi bayangan ...

5 Tips Bertemu Bakal

Hari ini ramai lelaki hanya tahu pandai bercinta sahaja tetapi ...