Facebook
RSS





kahwin lari

1) Apakah kahwin lari?

Istilah ‘kahwin lari’ bukannya bermaksud berkahwin sambil berlari tetapi ia merujuk kepada pernikahan yang dijalani oleh pasangan dalam keadaan mereka melarikan diri daripada prosedur biasa Mahkamah Syariah. Biasanya mereka lari ke negara jiran untuk bernikah secara mudah.

Dalam kes tertentu khususnya kes ingin berpoligami, terdapat juga pasangan yang kahwin lari dengan membawa lari bersama wali dan saksi untuk mengenepikan prosedur undang-undang.

 

2) Apa puncanya?

Antara punca utamanya:
a) Mereka mahu berpoligami tetapi tidak dapat melepasi syarat-syarat yang dikenakan oleh undang-undang dan (atau) tidak mahu perkahwinan tersebut diketahui oleh isteri pertama.
b) Pilihan mereka tidak direstui oleh orang tua.

 

3) Apakah kesan kahwin lari terhadap keluarga ?

a) Perpecahan keluarga dan memutuskan silaturrahim: Di antara matlamat perkahwinan itu adalah untuk mencapai kebahagiaan, ketenangan dan mengeratkan dua buah keluarga. Oleh itu, kahwin lari adalah dilarang kerana dikhuatiri akan berlaku perpecahan dalam kedua-dua belah pihak keluarga. Di samping itu, ia tidak mengikuti sunnah Rasulullah SAW yang mensyariatkan perkahwinan bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim dan melahirkan kegembiraan semua pihak yang terlibat.

b) Anak-anak terpinggir hak sebagai anggota masyarakat: Anak-anak yang lahir daripada perkahwinan yang tidak didaftarkan juga menerima tempias kesan yang tidak baik. Segala perkara rutin yang memerlukan dokumen yang sah tentunya tidak akan dapat dibuat disebabkan ketiadaan dokumen yang diperlukan. Umpamanya perkara-perkara yang melibatkan kesihatan, persekolahan dan tabungan di bank.

c) Menghilangkan hak bapa sebagai wali: Bapa yang memberi nafkah, menyediakan tempat tinggal dan memenuhi keperluan seorang anak selama ini diperlekehkan haknya untuk menjadi wali. Sudah tentu ia menimbulkan perasaan pedih, geram dan dendam yang sukar sembuh. Bahagiakah perkahwinan tanpa restunya?

 

4) Apakah kesannya dari segi hukum dan undang-undang ?

– Perkahwinan menjadi sah sekiranya menepati rukun dan syarat-syarat sah perkahwinan dari segi hukum syarak.

– Dari segi undang-undang, perkahwinan perlu didaftarkan di Mahkamah Syariah dan pasangan akan didenda kerana berkahwin tidak mengikut prosedur.

– Mereka yang berkahwin lari beranggapan walaupun ia merupakan kesalahan, tetapi ia bukan masalah yang berat. Ini kerana perkahwinan yang sah tetap boleh didaftarkan melihat kepada tempat pernikahan dijalankan itu berada lebih dua marhalah (lebih kurang 91 kilometer) dari tempat tinggal wali. Akan tetapi sebenarnya, perkara yang lebih penting daripada jarak jauh itu adalah penafian bapa sebagai wali itu sama ada munasabah atau tidak.

– Wali hakim hanya boleh memainkan peranan dalam keadaan bapa masih wujud, sekiranya terdapat sebab-sebab yang dibenarkan, iaitu dalam keadaan yang memenuhi hukum syarak. Sebaliknya, sekiranya keengganan wali itu disebabkan alasan yang munasabah, maka tidak wujud ruang bagi mana-mana wali hakim untuk mengambil peranan. Dan yang lebih penting lagi untuk diketahui, keengganan wali atas alasan yang munasabah boleh membatalkan pernikahan tersebut.

– Bidang kuasa Peruntukan sudahpun wujud dalam Seksyen 13(b) Undang-undang Keluarga Islam yang memperuntukkan bahawa, “Sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini melainkan kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu telah bersetuju terhadapnya, dan sama ada:

(a) Wali pihak perempuan telah bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut hukum syarak; atau
(b) Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu telah, selepas penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu oleh wali Raja mengikut hukum syarak; persetujuan tersebut boleh diberi jika perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut hukum syarak atau jika wali tidak dapat ditemui atau jika wali enggan memberikan persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi”.

– Sebenarnya konsep dua marhalah bagi tujuan pernikahan sebegini hanya sesuai bagi keadaan perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara dan tidak memungkinkan bagi pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut untuk kembali ke tanah air dalam tempoh tertentu sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 31 Akta Undang-undang Keluarga Islam.

Dalam keadaan ini, sekiranya perkahwinan yang hendak dilangsungkan itu tidak mencapai rukun nikah seperti lazimnya iaitu tidak adanya wali, maka barulah wali hakim akan mengambil tempat wali asal untuk menyempurnakan rukun nikah tersebut.

 

5) Apakah nas-nas yang melarang kahwin lari dan yang berkaitan dengannya?

Nas yang melarang kahwin lari:

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi yang bermaksud:
“Tidak sah perkahwinan melainkan dengan adanya wali.”

Dalil Kewajipan Mentaati Pemimpin Dalam Perkara Yang Tak Bertentangan Dengan Syariat

Daripada Adi Bin Hatim, kami bertanya, “Wahai Rasulullah! Kami tidak menanyakan kepadamu tentang taat kepada pemimpin yang bertakwa, tetapi tentang orang yang berbuat demikian dan demikian (kezaliman atau melakukan yang keji).” Maka Rasulullah SAW menjawab: “Bertakwalah kamu kepada Allah dan dengar serta taatlah (kepada pemimpin.” (Zilalul Jannah fi Takhrijus Sunnah 2/508. al-Albani menyatakan hadis ini adalah hadis yang sahih. Lihat: as-Sunnah Ibnu Abi Asim).

Imam Bukhari mengkhususkan satu bab berkenaan hadis ini dalam pembahasan al-Ahkam dari kitab sahihnya, iaitu bab firman Allah yang bermaksud: Taatilah Allah dan Rasulnya serta Ulil Amri (pemimpin) antara kamu.

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah: “Di dalam hadis ini disebutkan tentang wajibnya mentaati para pemimpin, tetapi ia terbatas dalam hal-hal yang bukan maksiat”.
Dan lafaz dari Muslim: “Kecuali apabila kamu melihat bahawa pemimpin itu telah kafir secara terang-terangan dengan bukti (kenyataan dalil) dari Allah”. (Sahih Muslim 3/1470)

Rasulullah SAW menyeru kami (agar patuh dan taat), maka kami pun membaiatnya, dan baginda meminta dari kami adalah: Agar kami membaiatnya atas dasar mendengar dan taat dalam suka mahupun duka, dalam keadaan susah ataupun senang dan dalam keadaan tidak kita sukai atau kita suka serta supaya kita tidak merampas kekuasaan dari ahlinya. Kemudian baginda berkata: Kecuali kamu melihat kekafiran yang telah nyata oleh kamu dengan pembuktian dari Allah Taala (dalil dari al-Quran yang membuktikan kekafirannya). (Syarah Muslim. Kitabul Imarah, bab Wujubu at-Taah al-Umara fi Ghairi Masiyah wa-Tahrimuha fi al-Masiyah. Oleh Imam Nawawi. H/R Muslim)

 

6) Bagaimana jika wali yang fasiq (banyak melakukan dosa besar) menghalang anaknya berkahwin kerana anti kepada pilihan anaknya terhadap seseorang yang beragama? Bolehkah si anak kahwin lari?

Seandainya hubungan tidak direstui disebabkan hal-hal yang remeh-temeh dan ia dibangkitkan oleh ahli keluarga, kahwin lari bukanlah penyelesaian yang bijak kerana Mahkamah Syariah bersedia untuk mendengar permohonan bagi kes seumpama ini.

Sebagaimana yang disebutkan oleh Seksyen 13(b) sebelum ini, sekiranya wali enggan memberikan persetujuan tanpa alasan yang sempurna, Mahkamah akan membenarkan perkahwinan yang diniatkan itu untuk diteruskan dengan menggunakan wali hakim. Inilah jalan penyelesaian yang sebenar, iaitu membawa masalah ke muka pengadilan. Di sini tidak timbul soal menjadi anak derhaka atau membelakangi orang tua kerana undang-undang mengatasi semua orang dan setiap orang tertakluk kepada undang-undang. Tanpa mengira siapa pun seseorang itu, ia perlu mematuhi undang-undang dan menerima keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah.

 

Kesimpulan: Orang yang berkahwin lari membuat satu keputusan penting dalam hidupnya secara sangat tidak bijak! Kalaupun tidak risau tentang hukuman Allah, tunggulah saat undang-undang dan masyarakat menghukumnya. Segeralah untuk memenangi kembali hati-hati yang kau telah lukai. Bukankah menyambung silaturahim itu suatu kebahagian hidup dan kewajipan agama?

 

Sumber

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...


One Response so far.

  1. pjaz says:

    kenapa sekarang pasangan memilih jalan mudah untuk kahwin lari sedangkan banyak kemudahan yg disediakan di negara kita. Isu ini hanya mengundang perpecahah antara pasangan dalam jangka masa yang panjang. Kalau dilihat dari isu ni, perempuan akan terseksa jika ingin berkahwin lain, didenda oleh pejabat syariah lagi, terpaksa menuntut kembali surat di nikah di negara yang terbabit, kalau pernikahan sah tak jadi masalah, kalau perkahwinan sindiket, tak ke susah…


3 Tips Untuk Jadikan

Wanita selalu bergantung kepada emosinya untuk menilai seorang lelaki. Untuk ...

Tips Pancing Awek

Anda tidak perlu lagi peningkan kepala bagaimana hendak memikat awek ...

Seks Adalah Hubungan

Ramai yang terperangkap apabila menganggap hubungan seks adalah hubungan nafsu. ...

3 Cara Untuk Buatkan

Cara Pertama; Menjadi seorang pendengar yang baik. . Isteri akan mula pandang ...

Cinta Jarak Jauh Tid

Ada sesetengah orang sangat tidak percaya kepada cinta jarak jauh ...